Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kuala Krau (SJKC Kuala Krau) adalah sebuah sekolah berlokasi di luar bandar dengan jarak perjalanan sejauh 38 kilometer daripada bandar Temerloh. Sejarah asal penubuhan sekolah ini adalah pada tahun 1926 dengan nama Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Pei Hua (SRJKC Pei Hua). Lokasinya mula-mula terletak di belakang Balai Polis Kuala Krau sekarang. Bilangan murid pada masa itu hanya ada tiga puluh lebih dan guru ada dua orang sahaja. Guru besarnya yang pertama adalah Encik Cheong Chua Hang. Sehingga kini ada 14 orang guru besar telah bertugas di sekolah ini.
Pada 1943, SRJKC Pei Hua terpaksa ditutup kerana Peperangan Dunia Kedua dan kawasan dan bangunan sekolah telah diguna pakai oleh kerajaan daerah. Pada tahun 1952, SRJKC Kuala Krau dibuka semula dengan bangunan baru yang terdiri di lokasi sekarang. Murid masa itu hampir seratus orang dan guru terdiri daripada 4 orang.
Pada tahun 1964, sekolah mengalami masalah kekurangan bilik darjah kerana bilangan murid bertambah dengan pesat. Pembinaan bangunan baru (4 buah bilik darjah dan 1 buah pejabat) telah dilaksanakan di bawah kerjasama Lembaga Pengurus Sekolah (LPS) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, serta Kementerian Pendidikan Kerajaan (peruntukan sebanyak RM14 ribu). Pada tahun 1967, bangunan baru ini siap diguna.
Pembinaan fizikal sekolah sentiasa ditambah, dinaikkan taraf dan diperbaiki. Misalnya pada tahun 1966, gelanggang bola jaring dan bola tampar telah didirikan. Pada tahun 1970, pagar sekolah dan tandas (4 buah) telah dibina. Pada tahun 1981, Kementerian Pendidikan Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM150 ribu untuk pembinaan 4 buah bilik darjah baru. Pada tahun 1982, LPS dan PIBG sekolah telah menambahkan lagi sebuah Rumah Guru yang dilengkapi dengan 5 buah bilik dan kemudahan asas telah dibina.
Pada tahun 1983, Tadika SJKC Pei Hwa telah ditubuhkan dengan persetujuan dari pihak kerajaan untuk memberi pendidikan yang bersistematik dan formal kepada anak-anak setempat. Tadika ini kemudian diambil alih oleh Kementerian Pendidikan Kerajaan pada tahun 1993 dan dijadikan Pra Sekolah Kuala Krau.
Kini SJKC Kuala Krau telah berkembang menjadi satu institusi pembelajaran yang lengkap dengan kemudahan asas dan mempunyai 4 blok bangunan termasuklah 1 blok Makmal Komputer, 2 blok bangunan 2 tingkat. Tambahan pula, 1 blok bangunan 4 tingkat baru dengan dilengkapi dengan 1 buah kantin, 1 buah dewan serbaguna dan 9 buah bilik darjah telah dibina mulai tahun 2008 dan siap diguna pada tahun 2010. Bangunan ini telah digunakan bermula dari tahun 2011 sehingga kini.